Baru semalam rasanya memikirkan berkenaan azam tahun baru 2013, rasa baru sangat...kini dah datang pula tahun baru 2014.
Samada suka atau tidak suka, terpaksa juga memikirkan apakah azam tahun baru 2013 dapat dicapai. Dalam masa yang sama perlu juga menyediakan sedikit azam tahun baru 2014 pula.
Kita tak boleh biarkan tahun demi tahun berlalu begitu saja tanpa ada sebarang perancangan untuk mengubah diri menjadi lebih baik dan lebih baik ke tahap maksimum mungkin sebelum Malaikat Maut datang menjemput roh.
Perlukah ada azam tahun baru 2014
Ini soalan yang penting untuk difikirkan. Ada orang yang berikan alasan bahawa azam tahun baru 2010 masih belum dilaksanakan, apatah lagi azam tahun baru 2011, 2012...dan seterusnya azam tahun baru 2014...nak buat azam apa jika yang lama masih tak tercapai.
Malah ada juga yang tak terfikirkan langsung tentang azam tahun baru. Hidup seperti lalang, ditiup ke kanan melentuk ke kanan dan jika ke kiri, melentuk ke kiri. Ikut saja kaki melangkah. Namun masih tetap hidup, bertambah juga anak-anak, bertambah juga pengalaman...apa perlu ada azam jika semuanya masih berjalan lancar.
Bagi saya azam atau sasaran atau matlamat perlu ada. Dari matlamat paling besar sebagai insan yang berada sementara di muka bumi ini dan menuju ke kubur dan seterusnya ke Padang Masyhar, perlu pula dipecahkan kepada 5 tahun, kemudian kepada setahun dan begitulah seterusnya selagi hayat dikandung badan.
Jika perjalanan tidak ada destinasi...apa saja jalan boleh dipilih kerana kita tak perlu sampai ke mana-mana. Namun jika kita ada matlamat, ada destinasi, mahu tak mahu kita terpaksa memilih jalan. jalan terbaik yang dapat membawa kita menuju ke destinasi pilihan.
Rasanya kehidupan yang ada matlamat lebih terurus kerana kita akan ada banyak kerja yang perlu dilakukan terutamanya kerja menganalisa jalan yang telah diambil dan membuat perubahan jika ada yang tersasar.
Bila kita sibuk membuat pembaikan demi pembaikan, maka tidaklah masa terbuang begitu saja mengambil jalan demi jalan lalu berpatah balik dan pergi semula. Masa akan habis begitu saja secara sia-sia walaupun seronok. Kerana seronok bukanlah matlamat terbaik untuk berada di dunia.
Panduan membuat azam tahun baru 2014
Biasanya selama ini kita akan letakkan azam berdasarkan apa yang hendak dicapai. Tahun ini rasanya elok dibuat sedikit perubahan bagaimana azam yang baik dan mampu dilaksanakan perlu dibuat agar kita menjadi lebih berjaya pada tahun 2014.
Kajian yang dilakukan dibarat menunjukkan azam yang terbaik adalah dengan meletakkan sasaran membina sistem. Jika kita meletakkan hasil sebagai azam, kebiasaannya ia lebih sukar untuk dicapai dan akan gagal begitu saja. Mungkin itulah antara sebab kita gagal mencapai hampir semua azam tahun baru yang telah dibuat sebelum ini.
Saya berikan contoh azam tahun baru yang mudah:
- Azam berbentuk hasil: Mahu kuruskan badan
- Azam berbentuk sistem: Jogging atau berjalan kaki 45 minit setiap hari
Jika anda mahu buat azam tahun baru 2014 menyentuh kesihatan, pilihlah azam berbentuk sistem yang saya nyatakan di atas iaitu, berjogging atau berjalan kaki 45 minit setiap hari berbanding mengambil azam berbentuk hasil seperti mahu kuruskan badan.
Dengan berbuat begitu, insyallah anda akan dapati ianya lebih mudah untuk dilakukan dan badan sihat dan berat badan turun akan datang dengan sendirinya, Insyaallah!.
Jika anda mahu dapatkan panduan membuat azam tahun baru, cuba baca posting ini, mungkin berguna untuk dilaksanakan. Selamat Tahun Baru 2014.